Kota Kinabalu Dah Nak Jadi Macam KL, Dan Ini 6 Persamaan Yang Agak Merisaukan



Setiap kali pelancong dari dalam dan luar negara datang ke Sabah, dorang mesti puji negeri di bawah bayu tu semakin cantik dan membangun. Tak pun, tengok je la gambar-gambar yang kawan korang pernah post kat sosial media macam Facebook dan Instagram. Sampaikan ada pemandangan yang nampak macam kat oversea.

Dalam banyak-banyak tempat menarik di negeri bawah bayu ni, ada pembangunan yang pesat sedang berlaku di ibu kota negeri ni, iaitu Kota Kinabalu. Ia juga dikatakan akan jadi bandar yang sibuk macam Kuala Lumpur tak lama lagi. Kota Kinabalu pada asalnya cumalah sebuah kampung nelayan kecil, dan dikenali sebagai Api-Api. Macam-macam cerita keluar pasal kenapa nama tu diberi, tapi yang paling popular sekali sebab api yang membakar bekas pusat pentadbiran. Nama tu kemudiannya ditukarkan kepada Jesselton, bersempena dengan Sir Charles Jessel, Naib Pengerusi British Chartered Company pada 1899.

Jesselton dipilih sebagai ibu kota negeri ni pada tahun 1946. Kemudian pada 1963, Borneo Utara bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu, dan masa ni negeri tu dikenali sebagai Sabah, dan Jesselton pula diubah kepada Kota Kinabalu.

Sejak tu, Kota Kinabalu memainkan peranan penting sebagai hab komersial dan pusat pelancongan. Kota Kinabalu pun berubah sebab infrastruktur bangunan dan jalan raya semakin meningkat.

1. Imago Mall yang macam Mid Valley

Kalau korang ni orang KL yang pernah ke KK, atau mungkin orang Kota Kinabalu yang balik ke tempat asal, korang mesti perasan yang Imago KK Times Square (aka Imago) ni nampak macam Mid Valley Megamall.

Terletak di tengah Petaling Jaya (Mid Valley) dan Kota Kinabalu (Imago), kedua-dua pusat membeli-belah ni mempunyai persamaan di mana bangunan ni nampak sama dari segi struktur bangunan segi empat tepat yang serupa, saiz sampailah reka bentuk dalamannya.

Satu-satunya perbezaan yang ada ialah Mid Valley mempunyai pusat membeli-belah mewah yang dipanggil The Gardens, manakala Imago pulak mempunyai restoran makan di luar dengan persembahan live band tempatan.

Persamaan paling jelas untuk kedua-dua mall ni pulak ialah susah sangat nak dapat parking spot. Dah habis pusing daripada tingkat 1 sampai 8 pun belum tentu jumpa.

Kewujudan pusat membeli-belah ni sebenarnya sesuatu yang mengejutkan untuk orang Sabah sebab bukan senang nak nampak pusat membeli-belah premium yang semakin membangun. Sebab, pusat beli belah yang kecil pun cuba sedaya upaya untuk kekal.

Kalau nak diikutkan, Kota Kinabalu sebenarnya dah diberikan status bandar 17 tahun yang lepas. Kalau kita tengok dalam gambar, banyak perubahan yang berlaku- terutama sekali dengan pusat beli belah yang semakin banyak, macam cendawan tumbuh lepas hujan. Mana taknya, di Kota Kinabalu saja ada lebih kurang 16 buah pusat beli-belah kecil dan besar pada masa ni. Beberapa tahun lepas, cuma Suria Sabah saja yang ada, dan sesetengah penduduk KK berpendapat yang ia lebih dari mencukupi.

2. The Aeropod nampak macam KL Sentral!

Sampai sekarang, terminal bas semasa di KK takde ruang, yang menyebabkan berlakunya kesesakan di bandar. Terminal bas sementara buat masa ni terletak di depan Hotel Promenade dan Wawasan Plaza, di bawah bumbung zink panjang.

Untuk menyelesaikan masalah ni, kerajaan negeri mencadangkan pembinaan baru yang dipanggil “KK Sentral” untuk memindahkan semua van dan bas mini di tepi jalan.

Walaupun pembinaan dah siap, KK Sentral belum lagi beroperasi sepenuhnya.

KK Sentral ni lebih kurang macam KL Sentral ke? Tak juga, sebab KK Sentral ni boleh disamakan macam Pasar Seni Daya Bumi sebab dipenuhi bas, van dan juga kereta. Sampaikan bas awam terpaksa jadikan Hotel Promenade dan Wawasan Plaza sebagai terminal bas sementara.

Disebabkan populasi yang semakin meningkat, ramai orang Sabah menunggu masa supaya stesen keretapi akan dibangunkan di seluruh daerah di negeri tu. Ramai antara diorang yang datang dari Sandakan, Tawau, Keningau, Kudat dan beberapa daerah yang jauh untuk mencari pekerjaan.

Kat Kuala Lumpur, KL Sentral la yang jadi hab keretapi, bas, dan beberapa pengangkutan awam yang lain. Aeropod yang akan siap pada tahun 2022 tu macam KL Sentral la. Tapi, diorang bukan nak buat stesen kereta api je, tapi juga merupakan hab komersial masa depan di mana hotel, suite kediaman dan pusat membeli-belah akan dibina di kawasan sekitarnya.

Sebab utama di sebalik penubuhannya adalah supaya stesen keretapi sedia ada di Tanjung Aru dapat dihidupkan semula untuk meningkatkan lagi pergerakan untuk penduduk tempatan dan pelancong.

3. Selain Aeropod, mereka juga akan dapat LRT tak lama lagi

Aeropod Tanjung Aru adalah pembangunan yang dicadangkan oleh DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) yang terdiri daripada ibu pejabat Jabatan Keretapi Sabah, Stesen Kereta Api, dan Sistem Jalan Lingkaran di Tanjung Aru. Perbandaran Tanjung Aru mudah diakses dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) dan Terminal Penerbangan Kos Rendah (LCCT 2).

Pembangunan komersil ni mengambil kira-kira 41.81 ekar (“Projek Tanah”). Dalam masa yang sama, peruntukan untuk LRT ada dalam projek Aeropod. Tapi buat masa ni, sistem pengangkutan hanya terhad kepada bas persiaran, bas awam dan van mini.

Timbalan Pengurus Besar Aeropod, Chan Tah Seong kata rangkaian kereta api adalah pengangkutan awam yang penting di negara-negara maju. Jadi bila urusannya cekap,semua orang dapat ke destinasi masing-masing dan dalam masa yang sama tak sibuk nak cari parking.

    “Apabila pergi ke negara maju, kereta api adalah pengangkutan utama; orang tidak memandu kereta. Ia boleh dipercayai dan boleh mengangkut sebilangan besar orang dalam masa yang singkat.”- Chan Tah Seong

Antara kebimbangan yang wujud adalah keselamatan rakyat Sabah. Jalan di sesetengah tempat banyak yang berlubang, tanah runtuh berlaku dan ada juga tapak kaki babi hutan. Jalan-jalan ni nampaknya tak selamat untuk dilalui rakyat Sabah.

    “Kapal terbang kan ada?”

Sebagai syarikat penerbangan paling berpatutan di negara ini, AirAsia hanya menawarkan dua laluan ke daerah Sandakan dan Tawau di Sabah. Jadi dengan adanya LRT, lebih banyak laluan untuk ke pelbagai destinasi, dan kos perjalanan juga adalah lebih selamat dan ekonomik. Jadi, “pembukaan besar” di Aeropod tu adalah sesuatu yang sangat ditunggu-tunggu.

4. Permintaan kondominium semakin meningkat

Kenapa permintaan kondominium semakin meningkat? Ada beberapa faktor kenapa hartanah di KK tidak lagi menjadi pilihan. Salah satu sebabnya adalah rumah di Sabah sangat mahal. Malah, merupakan antara salah sebuah negeri yang paling mahal untuk diduduki di Malaysia.

Menurut Pengarah Eksekutif Institut Rakyat, Yin Shao Loong, dia berkata rumah di Sabah adalah “dua kali ganda lebih murah daripada purata nasional sebanyak RM251,731”. Dia juga menegaskan yang purata rumah di negeri ni adalah 11 kali lebih tinggi daripada pendapatan tahunan median keluarga sebanyak RM34,320.

Sebagai perbandingan dengan KL, harga perumahan purata adalah RM576,991. Pendapatan isi rumah tahunan median di ibu negara hanya RM70,164 atau RM5,847 sebulan.

Kos perumahan ialah tiga kali ganda pendapatan tahunan rumah median, dan maknanya ia sangat tak berpatutan. Sesiapa yang ada tanah tu memang orang kaya.

Satu masa dulu, bangunan tertinggi di Kota Kinabalu adalah di sekitar puncak Menara Tun Mustapha (400ft tinggi).

Tapi bila banyak sangat pembangunan yang berlaku sekarang ni, bangunan-bangunan tu dah sampai tutup bukit-bukit hijau semulajadi.

Jesselton Residences, Harrington Suites, The Peak Vista… Kondominium eksklusif dibina mestilah untuk orang-orang yang berada je. Perkara ni la menyebabkan timbulnya isu kekurangan rumah bagi golongan berpendapatan rendah hingga sederhana.

5. Pelancong yang tak putus-putus

Sebagai negeri yang dikelilingi banyak pulau yang cantik, tak hairanlah Sabah dapat sambutan pelancongan yang tinggi, iaitu sehingga 3.43 juta pada tahun lepas.

Pelancong China adalah salah satu penyumbang terbesar yang merekodkan peningkatan sebanyak 51.8% sejak 2015. Australia pula adalah antara pelancong baru yang muncul walaupun cuma mempunyai satu penerbangan saja dalam seminggu dari Perth.

Malah, KKIA merupakan lapangan terbang paling sibuk kedua di negara ini selepas KLIA, seperti yang dinyatakan oleh pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah.

Tapi, pelancong yang ke KL mestilah lebih ramai, iaitu lebih kurang 11 juta pelawat antarabangsa direkodkan melancong ke KL pada tahun 2015, dan yang tertinggi direkodkan ialah setahun sebelum tu, iaitu sebanyak 11.63 juta pada 2014.

6. Dan akhirnya, kesesakan lalu lintas

Dengan pelbagai projek bandar yang berjalan, kebanyakan jalan yang dulunya tenang macam kat Segama, KK Coastal Highway, Gaya dan Sinsuran jadi semakin sesak. Tak hairanlah satu hari nanti kesemua jalan ni akan sesak macam KL.

Menurut Borneo Post, statistik yang direkodkan pada tahun 2000 menunjukkan cuma 77,000 pengangkutan je yang masuk dan keluar bandar dalam masa satu hari. Pada tahun 2016, lebih kurang 140,000 pengangkutan menguasai jalan-jalan di bandar setiap hari dengan peningkatan pemilikan kereta setiap tahun. Kesesakan yang dulunya masih bergerak nampaknya semakin teruk sampaikan tak bergerak langsung lebih kurang 45 minit, malah sampai satu jam di KK.

Berdasarkan tinjauan yang dilakukan World Bank pada 2014, orang KL secara purata menghabiskan lebih kurang 250 juta jam setahun terperangkap dalam kesesakan lalu lintas terutama sekali semasa pagi, iaitu pada waktu puncak.

Keseimbangan sangat penting dalam apa jua keadaan. Memandangkan Kota Kinabalu tengah membangun dengan pesat, alam sekitar dan warisan budayanya sepatutnya dijaga rapi.

Contohnya macam kisah Atkinson Clock Tower di KK. Tahun ni, Dewan Bandaraya KK bagi kebenaran pada pemaju untuk bina sebuah bangunan berbilang tingkat bersebelahan dengan Menara Jam Atkinson yang berumur 112 tahun. Aktivis menyuarakan kebimbangan diorang bukan je pasal pemandangan kurang cantik terhadap tapak warisan tu, tapi diorang juga risau yang perkara tu boleh membawa kepada tanah runtuh (macam apa yang terjadi pada tahun 2013). Disebabkan itu, kerajaan negeri belum bagi kelulusan sepenuhnya lagi pada pemaju bangunan 18 tingkat tu.

Bagi rakyat Sabah, menara jam tu adalah satu keunikan yang ada di tengah-tengah bandar Kota Kinabalu. Ia adalah warisan British di mana ia adalah satu struktur pra- Perang Dunia Kedua yang masih wujud di Kota Kinabalu, Sabah. Jadi kalau kerajaan luluskan pembinaan bangunan berbilang tingkat tu, perasaan tu mungkin dah tak sama lagi pada diorang.

Tapi, tipu la kalau kata yang pembangunan bandar ni tak bawa apa-apa perubahan positif. Kalau macam tu, takdelah sekolah, hospital, dan pengangkutan awam, kedai runcit dan banyak lagi. Tapi kalau KK bertukar menjadi KL, mungkin rakyat bukan Sabah boleh berhenti fikir yang orang Sabah masih hidup dalam hutan?